Kembali berjuang untuk royalti minyak Kelantan

Nazri Deraman
Nazri Deraman
A
A
A

KOTA BHARU – Badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Royalti Kelantan atau R memulakan kembali perjuangan menuntut royalti petroleum untuk Kelantan yang didakwa dinafikan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Presiden R, Nazri Deraman berkata, sebelum ini perjuangan menuntut royalti berkenaan dihentikan untuk memberi ruang perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Namun katanya, penantian rakyat Kelantan untuk memperoleh manfaat daripada royalti berkenaan dikecewakan apabila kerajaan Persekutuan mendakwa tiada bayaran royalti dibuat oleh Petronas khususnya bagi pengeluaran petroleum kepada negeri-negeri di semenanjung Malaysia, termasuk Kelantan.

“Sebaik sahaja UMNO dan BN tumbang, kerajaan Persekutuan bertukar kepimpinan kepada Pakatan Harapan (PH) dan pihak kami mengambil ketetapan untuk memberikan seluas-luasnya ruang rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan tanpa apa-apa tekanan.

“Namun terbaharu, kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai royalti amat mengejutkan dan mengecewakan kami sebagai rakyat Kelantan. Penantian kami sebelum ini hanya sia-sia. Gencatan senjata untuk berjuang mendapatkan royalti dihentikan seketika sebab mahu bagi ruang kepada perbincangan kerajaan negeri dan Pusat.

“Maka hari ini pihak kami mengumumkan bahawa ‘gencatan senjata’ yang dimeterai tersebut telah tamat, serta merta,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini mendakwa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nazri berkata, selama tempoh hampir setengah abad tidak pernah ada walau satu sen bayaran tunai (Royalti) dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan kembali seluruh rakyat Kelantan bangkit memperjuangkan hak tersebut sehingga memperoleh kejayaan.

“Harapan masih ada. Kini harapan ini tergalas di atas bahu para pemimpin dari Kelantan. Penguasaan politik rakyat Kelantan melalui ahli-ahli Parlimen yang bersama membentuk kerajaan Persekutuan kini seharusnya digunakan sebaik mungkin.

“Peluang dan ruang yang masih terbuka ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kepercayaan rakyat wajib dijaga sebaik mungkin. Gunakan kuasa politik sebagai 'king maker' bagi mendapatkan hak rakyat Kelantan sementara masa masih ada dan belum terlambat,” katanya.