Timbalan Presiden Aker Engineering dilepas tanpa dibebaskan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis melepas tanpa membebaskan Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman daripada pertuduhan memperdaya sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka untuk menyenaraikan syarikat itu sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus bumiputera.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, ketika dihubungi pemberita selepas prosiding kes tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau berkata, pembelaan telah memfailkan bantahan awal berhubung pertuduhan terhadap Ahmad Hatta yang didakwa cacat dan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

“Mahkamah membenarkan bantahan awal atas alasan pertuduhan tersebut adalah cacat selain bersetuju bahawa pihak pendakwaan gagal memperinci butiran kesalahan dan kerugian yang didakwa dialami dalam kes ini.

“Selain itu, mahkamah menyatakan pertuduhan harus jelas bagi membolehkan peguam menyediakan pembelaan yang efektif untuk tertuduh. Mahkamah juga mendapati pertuduhan terhadap anak guam saya tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah. Oleh itu, anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Amer Hamzah juga berkata, bantahan awal itu difailkan selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Hatta untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hatta didakwa sebagai ejen syarikat Kumpulan Aker Solutions telah mengemukakan dokumen bagi maksud untuk memperdaya sebuah syarikat minyak dan gas bagi menyenaraikan Aker Engineering Malaysia sebagai syarikat berkelayakan dan berstatus bumiputera, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa syarikat itu (Aker Engineering) bukanlah berstatus Bumiputera.

Dia didakwa menyembunyikan fakta sebenar pemilikan saham syarikat itu yang mana berkepentingan benefisiari sebenar adalah syarikat Kumpulan Aker Solutions.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2018 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama