Bank Rakyat raih Anugerah Kecemerlangan Dalam CSR

Noh Omar (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Kecemerlangan Dalam CSR kepada Syed Abdul Aziz (kiri) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Noh Omar (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Kecemerlangan Dalam CSR kepada Syed Abdul Aziz (kiri) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

BANK Rakyat meraih Anugerah Kecemerlangan Dalam CSR menerusi Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021 (BBEA 2021) baru-baru ini.

BBEA 2021 julung kali diadakan bertujuan memberi penghargaan kepada usahawan dan perniagaan bumiputera daripada pelbagai industri serta selebriti atas inovasi, sumbangan dan pencapaian mereka walaupun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pengiktirafan tersebut hasil impak positif terhadap penglibatan dan usaha berterusan Bank Rakyat dalam melaksanakan inisiatif jangkauan komunitinya.

“Ia termasuk pemberian bantuan barang keperluan harian dan makanan asas bagi memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan seperti golongan usahawan, pelajar B40 serta penduduk yang terjejas akibat bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar kepada Syed Abdul Aziz di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syed Abdul Aziz berkata, anugerah tersebut turut mengiktiraf sumbangan Bank Rakyat menerusi program Nuri Nutrisi yang telah dilancarkan sejak Januari 2019.

Jelas beliau, program itu bertujuan mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan status nutrisi pelajar sekolah yang tidak berkemampuan.

“Di samping menjaga keperluan sosial komuniti setempat seiring dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya, pelaksanaan Kebun Nuri Nutrisi yang memberi peluang kepada pelajar dan sekolah menguruskan tanaman sayuran dan buah-buahan yang hasilnya dapat dituai untuk dijual dan dijadikan sumber makanan bernutrisi secara berterusan oleh pelajar B40,” ujar beliau.

Syed Abdul Aziz berkata, Bank Rakyat turut melaksanakan program keusahawanan seperti RAKYATpreneur bagi menyantuni usahawan asnaf yang berpotensi.

Katanya, ia menerusi penyediaan dana perniagaan termasuk modul latihan dan bimbingan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan mereka.

“Kita juga memperkenalkan Program Rintis UNIpreneur dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membantu usahawan siswa daripada golongan asnaf mengembangkan perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi yang mencabar akibat penularan Covid-19,” ujar beliau.