Angkara burung murai, lelaki parah dipukul dua beradik

Lelaki parah dipukul dua beradik menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling. - Gambar hiasan
Lelaki parah dipukul dua beradik menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling. - Gambar hiasan
A
A
A

PASIR MAS - Angkara seekor burung murai, seorang lelaki cedera parah dipukul dua beradik menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, dua beradik berusia 26 dan 41 tahun mendakwa mangsa mencuri seekor burung murai milik mereka sehingga menimbulkan salah faham dan pergaduhan.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan di rumah mereka selepas menerima aduan daripada bapa mangsa pada petang Isnin.

"Mangsa yang berusia 37 tahun mengalami patah pada bahagian jari manis dan jari anak (tangan kanan), luka di bahagian kepala, bengkak di bahagian leher dan lutut kanan, lebam dan calar di bahagian belakang badan. Dia kini dirawat di Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

"Siasatan polis mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah tanpa nombor apabila mangsa telah dipukul susulan berlaku salah faham," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua suspek adalah jiran sekampung mangsa dan tangkapan dilakukan kerana mendatangkan kecederaan parah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: