Tanah runtuh: Jalan Tapah-Cameron Highlands ditutup sementara

Laluan FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands di Seksyen 62.65 akan ditutup sementara bermula hari ini bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang semalam. - Foto JBPM/APM
Laluan FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands di Seksyen 62.65 akan ditutup sementara bermula hari ini bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang semalam. - Foto JBPM/APM
A
A
A
IPOH - [DIKEMAS KINI] Jalan tapah-Cameron Highlands kini ditutup sepenuhnya bermula Selasa sehingga kerja membersihkan runtuhan tanah yang berlaku semalam selesai.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, papan tanda penutupan jalan telah diletakkan di Batu 4 Jalan Pahang dan pengguna yang hendak ke tanah tinggi itu dinasihatkan menggunakan jalan alternatif.

“Bagaimanapun, bagi penduduk yang tinggal di sepanjang jalan sehingga ke Batu 20 masih boleh menggunakan jalan berkenaan, namun dinasihatkan agar berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dalam satu kenyataan, laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna pada masa hadapan.
Artikel Berkaitan:


"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," kata kenyataan itu.

Pada Isnin, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang. - Bernama