RM100 juta setahun pampasan munasabah untuk Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menghargai persetujuan kerajaan Persekutuan untuk memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman tersebut, bagaimanapun berharap pemberian pampasan adalah dalam bentuk pampasan fiskal dan bukannya berbentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya.

Beliau berkata, nilai paling munasabah bagi pampasan untuk Kedah ialah sekurang-kurangnya RM100 juta setahun selepas mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan hutan serta kelestarian alam semula jadi.

"Untuk rekod, luas keseluruhan kawasan berhutan negeri Kedah ialah 344,865.09 hektar meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri.

"Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik tetapi juga sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menjelaskan, fungsi kawasan tadahan daripada hutan simpan di negeri ini adalah untuk pengairan kawasan penanaman padi bukan sahaja dalam Kedah, malah Pulau Pinang dan Perlis.

Kenyataan media Menteri Besar Kedah pada Isnin.
Kenyataan media Menteri Besar Kedah pada Isnin.

Katanya, Kedah membekalkan sebanyak 43 peratus daripada keperluan beras nasional yang begitu membantu kerajaan Persekutuan menjimatkan kos import bahan makanan asasi itu dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kawasan tadahan di Kedah khususnya Hutan Simpan Hulu Muda seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang.

"Pulau Pinang mengabstrak 1,100 juta liter air sehari dari Sungai Muda iaitu sumber air dari Hutan Simpan Hulu Muda, berbanding rakyat Kedah sendiri yang menggunakan 800 juta liter air sehari dari Sungai Muda.

"Sebanyak 80 peratus air kegunaan air Pulau Pinang setiap hari adalah diabstrak daripada Sungai Muda," jelas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang bukan sahaja tidak pernah membayar, malah surat-surat yang dihantar untuk diajak berunding mengenai perkara itu juga tidak pernah dijawab.

"Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan dan pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan, selain kos melepas akibat kehilangan hasil hutan, pembayaran pampasan ini telah ditunggu oleh kerajaan dan rakyat Kedah sejak sekian lama," katanya.

Tambah beliau, pengumuman itu selaras dengan Rancangan Fizikal Negara ke-4 (RFN4) yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) baru-baru ini.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berterima kasih kepada Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN:Kekalkan hutan simpan, kerajaan bayar pampasan kepada Pahang