X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Zii Jia akan beraksi dalam Terbuka Indonesia

Lee Zii Jia
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki terbaik negara Lee Zii Jia sudah bersedia untuk beraksi dalam Terbuka Indonesia 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 28 November ini di Bali, Indonesia.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang mengesahkan perkara itu berkata, pemain berumur 23 tahun itu semakin pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya dalam kejohanan Indonesian Masters 2021 sebelum ini.

“Zii Jia akan bermain (Terbuka Indonesia)... dia tidak lagi rasa sakit sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ditanya mengenai sasaran pemain ranking ketujuh dunia itu, Choong Hann berkata, beliau hanya mahukan supaya juara All England 2021 itu melakukan yang terbaik di gelanggang Bali International Convention Centre, Nusa Dua nanti.

Katanya, apa yang lebih penting adalah Zii Jia tidak mengalami sebarang kecederaan, bagi membolehkan beliau membuat persiapan untuk bertanding dalam Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol 12-19 Disember depan.

Penyertaan Zii Jia dalam Terbuka Indonesia sebelum ini menjadi tanda tanya apabila pemain dari Kedah itu menarik diri dalam perlawanan pusingan pembukaan Indonesian Masters 2021 Isnin lalu disebabkan masalah sakit belakang, semasa berentap dengan pemain dari Denmark Rasmus Gemke.

Sehubungan itu, jurulatih Zii Jia, Hendrawan berkata, beliau telah memberikan cuti seminggu kepada Zii Jia untuk pulih dan akan memantau keadaan pemain itu dari masa ke masa sebelum memberi kebenaran kepadanya untuk menyertai Terbuka Indonesia.

Zii Jia sebelum ini juga pernah menarik diri semasa menentang pemain Singapura Loh Kean Yew dalam final Terbuka Hylo di Jerman pada 7 Nov lepas, yang berakhir dengan keputusan 21-19, 13-21 dan 12-17.

Zii Jia akan berpeluang untuk berhadapan dengan pemain bukan pilihan Rasmus sekali lagi apabila kedua-dua pemain itu dijadual bertembung dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!