Pekerja binaan dijel enam tahun guna wang palsu

Seorang pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kluang pada Ahad atas pertuduhan menggunakan wang palsu untuk berbelanja pada 7 November lalu.
Seorang pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kluang pada Ahad atas pertuduhan menggunakan wang palsu untuk berbelanja pada 7 November lalu.
A
A
A

KLUANG - Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pekerja binaan atas kesalahan menggunakan wang palsu untuk berbelanja pada awal bulan ini.

Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Lim Lai Kok, 53, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan wang kertas RM100 untuk membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah di sini pada jam 3.30 petang, 7 November lalu.

Pemilik kedai yang menyedari wang RM100 diberikan adalah wang palsu kemudian bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh turut memiliki sekeping lagi wang kertas RM100.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak di Jalan Lambak di sini jam 1.24 petang hari yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan terbabit, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam rayuannya, Kai Kok berkata, dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana terdesak akibat ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatan yang tidak baik.

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara di atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh dia ditangkap.