Johor terima pelaburan RM6.56 bilion

Mohd Izhar Ahmad
Mohd Izhar Ahmad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor mencatatkan nilai keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama sebanyak RM6.56 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, sebanyak 7,860 peluang pekerjaan dijangkakan mampu disediakan berdasarkan nilai keseluruhan pelaburan berkenaan.

"Bagi memacu agenda pelaburan negeri pada masa hadapan, Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 (PIPNJ 2030) juga sedang dirangka.

"Pelan ini merupakan satu dokumen rujukan yang komprehensif dalam memacu agenda pelaburan negeri bagi tempoh 10 tahun akan datang dan dijangka siap hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Tan Chen Choon (DAP- Jementah) berkenaan nilai pelaburan yang diterima Johor pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini pada Ahad.

Mohd Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksana dan dirancang kerajaan negeri bagi mengekalkan pelaburan sedia ada dan menarik pelabur baharu.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan beberapa jawatankuasa khas pelaburan antaranya Ibrahim Johor Economic Council (IJEC), penubuhan Johor Economic Tourism Cultural Office (JETCO) dan inisiatif Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-KepRi).

"Sesi promosi bersama bakal pelabur turut giat diadakan melalui perbincangan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Antara sesi dialog dan perbincangan yang diadakan ialah Johor Bahru Chinese Chamber of Commerce (JBCCI), Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) dan Malaysia-Singapore Business Council & Singapore Business Federation (SBF)," katanya.