Lelaki dikompaun merokok dalam kedai, belum lengkap vaksin

Dr Nor Azimi (tengah) melakukan pemeriksaan ke atas buku rekod pelanggan sebuah kedai makan di Dataran Sekilau di sini ketika Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Akta 342 dan PPKHT 2004 pada malam Sabtu.
Dr Nor Azimi (tengah) melakukan pemeriksaan ke atas buku rekod pelanggan sebuah kedai makan di Dataran Sekilau di sini ketika Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Akta 342 dan PPKHT 2004 pada malam Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sudahlah merokok dalam kedai makan, bila diperiksa rupanya belum lengkap vaksin.

Itu antara kesalahan melibatkan pelanggan sebuah restoran di sini yang dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di sekitar Kuantan pada Sabtu.

Akibatnya lelaki terlibat dikompaun kerana merokok di kedai makan dan pemilik premis dikompaun atas kesalahan gagal pastikan pelanggan lengkap vaksin makan di dalam premisnya.

Selain itu, turut dikesan ada dalam kalangan pelanggan tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod MySejahtera dan premis tidak menyediakan peralatan saringan suhu badan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam operasi secara besar-besaran bermula jam 2 petang hingga 9 malam itu, sebanyak 135 premis diperiksa dan 74 notis di bawah PPKHT 2004 serta 18 kompaun di bawah Akta 342 telah dikeluarkan.

Menurutnya, daripada jumlah notis kesalahan merokok di tempat awam itu, 21 notis dikeluarkan kepada pelanggan restoran, pengunjung pusat beli belah (30 notis), pengunjung taman awam (dua notis) dan hentian pengangkutan awam (tiga notis).

"Daripada jumlah itu, 18 notis yang dikeluarkan melibatkan remaja bawah umur.

"Daripada 18 kompaun dikeluarkan kerana gagal mematuhi SOP, 15 kompaun melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan masing-masing satu kompaun kerana gagal guna aplikasi MySejahtera, gagal pastikan pelanggan lengkap vaksin dan tidak menyediakan peralatan saringan suhu badan," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut di sini pada malam Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dr Nor Azimi berkata, nilai kompaun hasil operasi itu mencecah RM37,000 bagi kesalahan di bawah PPKHT 2004 dan RM27,500 bagi kesalahan di bawah Akta 342.

Seorang pelanggan dikenakan tindakan kerana merokok dan tidak lengkap vaksin ketika makan dalam sebuah restoran di sini pada malam Sabtu.
Seorang pelanggan dikenakan tindakan kerana merokok dan tidak lengkap vaksin ketika makan dalam sebuah restoran di sini pada malam Sabtu.

Sementara itu katanya, bagi aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP bawah Akta 342, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan merupakan penyumbang terbesar dalam pengeluaran kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri Pahang.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari sehingga 18 November lalu, PKD Kuantan telah mengeluarkan 563 kompaun bernilai RM 936,500.

"Antara kesalahan yang kerap dikesan termasuklah gagal menggunakan aplikasi MySejahtera (227 kes), gagal memakai pelitup muka (151 kes) dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal (67 kes).

"Lain-lain kesalahan, gagal membuat imbasan suhu, gagal membuat sanitasi premis serta gagal memastikan pelanggan mempunyai vaksinasi lengkap," katanya.

Menurutnya, PKD Kuantan turut mempergiatkan usaha bagi aktiviti penguatkuasaan PPKHT 2004 di mana dalam tempoh sama, sebanyak 151 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM75,500.

"Kesalahan utama yang kerap dilakukan, merokok di tempat larangan merokok bawah Peraturan 11 PPKHT 2004 iaitu 117 notis atau 77.5 peratus.

"Tempat larangan merokok yang kerap berlaku kesalahan merokok adalah tempat makan (72 notis), hentian pengangkutan awam (25 notis), kompleks beli-belah (13 notis) dan hentian rehat dan rawat (tujuh notis).

"Selain itu, turut dikesan kesalahan melibatkan penjualan rokok di bawah harga minimum (11 notis) dan kesalahan pemilik premis serta orang belum dewasa (34 notis)," katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan sebanyak 1,849 kompaun di bawah Akta 342 telah dikeluarkan di negeri ini dengan nilai kompaun RM3.6 juta.

"Sementara itu, sebanyak 1,592 notis telah dikeluarkan bawah PPKHT 2004 dengan nilai kompaun RM796,000," katanya.