Tabung Haji kurang RM4 bilion wang pendeposit?

Tabung-Haji
Tabung-Haji
A
A
A
KUALA LUMPUR - Tabung Haji (TH) kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017 berdasarkan penyata kewangan TH bagi tahun 2016.

Pendedahan yang dibuat sebuah media Singapura Sunday Times itu turut mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.

Menurut Sunday Times, aset TH bagi tahun 2016 berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion daripada sembilan juta pendeposit.

"Terdapat sumber daripada kerajaan PH yang mendakwa barisan pengurusan TH sebelum ini 'memalsukan penyata kewangan tahun 2017 untuk membolehkan TH membuat bayaran dividen sebanyak 6.25 peratus pada bulan Februari 2018, iaitu hanya tiga bulan sebelum PRU14," lapor Sunday Times.

Sunday Times turut melaporkan, disebabkan dakwaan penipuan ini, angka yang diumumkan sebagai untung bagi tahun 2017 sebanyak RM2.7 bilion adalah diragui.

TH sehingga kini bagaimanapun belum mengeluarkan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2017, walaupun tinggal hanya tiga minggu lagi sebelum tahun 2019 menjelang.

Kelewatan penyata kewangan tersebut diterbitkan juga dipercayai disebabkan perubahan barisan pengurusan tertinggi TH susulan perubahan kerajaan selepas PRU14.

Barisan lembaga pengarah TH sebelum ini, antaranya, terdiri daripada mereka yang rapat dengan kerajaan BN, termasuk Tan Sri Apandi Ali, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang telah meletak jawatan.

Abdul Azeez, yang merupakan bekas pengerusi TH, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes rasuah, termasuk berhubung TH.
Artikel Berkaitan:


Jumaat lalu, pihak pengurusan baharu TH yang diketuai oleh Datuk Seri Zukri Samat telah membuat laporan polis terhadap Abdul Azeez dan dua bekas ketua pegawai eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Pengurusan baharu TH baru-baru ini mendedahkan dana lebih RM22 juta digunakan untuk tujuan politik pada tahun lalu.

Laporan polis itu turut menamakan empat lagi pengurus kanan TH, iaitu Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan, Penasihat Perundangan, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan polis itu melibatkan dua isu berbeza, iaitu satu kes berkenaan dengan Yayasan Tabung Haji yang melibatkan penggunaan RM22 juta untuk kegunaan politik, dan satu lagi kes berkenaan Ismee, Hazlina, dan Rafina yang didakwa menyembunyikan fakta penting tentang penjualan tanah oleh TH sebanyak 95 peratus di PT TH Indo Plantations pada tahun 2012 yang bernilai AS$910 juta (RM3.8 bilion).

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pernah membuat kenyataan tentang salah urus tadbir di TH, tetapi beliau dikritik hebat dan dituduh membuat fitnah.

Laporan Sunday Times turut menyatakan terdapat beberapa langkah dan usaha untuk mengembalikan urus tadbir baik TH.

Aset TH merangkumi lebih 150 hartanah seluruh dunia dan juga memegang saham dalam lebih 100 syarikat tersenarai, termasuk Bank Islam Malaysia Berhad.