Pendidikan masyarakat Orang Asli sentiasa dibela: PM

Ismail Sabri- Foto Bernama
Ismail Sabri- Foto Bernama
A
A
A

BERA- Kerajaan sentiasa menekankan pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk dalam aspek pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara inisiatif yang dilaksanakan untuk kemajuan pendidikan mereka ialah Program Laluan Khas Kemasukan Pelajar Orang Asli ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

"Ruang dan peluang sebegini dapat membuka peluang lebih cerah kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran, dan kita yakin dapat menyaksikan lebih ramai anak Orang Asli berjaya sebagai profesional daripada UPNM.

"Atas paksi falsafah Keluarga Malaysia juga, keberkesanan dan keterangkuman masyarakat Orang Asli menjadi agenda penting agar mereka dapat bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan negara menerusi perkongsian semangat satu tanah air tercinta," katanya.