‘Najib patut ada perasaan malu’

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya malu untuk menuntut aset yang besar nilainya kepada kerajaan ketika negara masih dalam fasa pemulihan Covid-19, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Muhammad Faiz berkata, permohonan untuk ganjaran tanah dan rumah bernilai RM100 juta itu timbul ketika ramai rakyat Malaysia tidak berkemampuan untuk memiliki rumah pertama walaupun sudah lama bekerja dan berkeluarga.

“Statistik awal daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada tahun lepas menunjukkan seramai 53 peratus penjawat awam masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

“Malah, masih ramai rakyat marhaen terutama mereka yang bukan penjawat awam sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Najib telah memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan mengenainya sudah diadakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sedang menunggu keputusan untuk dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, perlu diingatkan bahawa hak saraan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak bersifat mutlak kerana ia masih tertakluk kepada kebenaran kabinet.

“Beliau tidak boleh anggap dirinya berhak kerana kabinet boleh buat keputusan untuk menangguhkan pemberian itu sehingga keputusan di mahkamah rayuan diputuskan.

Artikel Berkaitan:

“Pendek kata, Penasihat Barisan Nasional (BN) itu boleh memohon apa yang beliau mahukan, namun atas budi bicara Jemaah Menteri untuk meluluskannya atau tidak,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:'Berpada-pada hargai jasa bekas Perdana Menteri'

ARTIKEL BERKAITAN:Hadiahkan Najib hartanah RM100 juta, pembangkang kaji semula kerjasama

ARTIKEL BERKAITAN:Tengku Zafrul sahkan Najib mohon rumah bernilai RM100 juta