BN mampu menang lebih 18 kerusi

Sulaiman - Foto Bernama
Sulaiman - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Barisan Nasional (BN) diyakini akan memenangi lebih 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada Sabtu.

Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu tidak mustahil kerana BN bekerja keras untuk mendapatkan mandat lebih besar.

“Saya yakin bukan kata 18 kerusi, (tetapi) ia mungkin lebih daripada itu. Kita nak menang, mahu mandat yang besar. Saya yakin kita boleh dapat 18 kerusi. Insya-ALLAH lebih daripada itu pun kita boleh dapat,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga calon Ketua Menteri Melaka bagi BN berkata, pihaknya berpuas hati dengan kempen yang dijalankan jentera-jentera parti sepanjang 12 hari berkempen.

Menurutnya, kini terserah kepada pengundi untuk membuat pilihan memastikan Melaka dapat ditadbir oleh parti yang stabil.

Pada masa sama, beliau tidak menolak sekiranya peratusan keluar mengundi adalah rendah, ia akan menjadi kelebihan kepada parti-parti yang mempunyai pengaruh besar.

“Ya, benar. Saya bersetuju kalau peratusan keluar mengundi itu berkurangan, ia akan memberikan kelebihan kepada parti-parti besar yang banyak pengaruh.

“Tapi itu hanya analisis dan andaian hanya atas kertas, tapi yang pentingnya atas kertas undi selepas 5 petang esok,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman sehubungan itu mengingatkan pengundi agar tidak melepaskan peluang menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memilih kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kalau kita tidak keluar mengundi atau silap pilih kerajaan, kena tunggu lagi lima tahun. Bermakna tahun 2026, baru ada pilihan raya. Kalau ada pilihan raya umum (PRU) tahun depan, itu untuk memilih kerajaan Persekutuan,” jelas beliau.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my