Tekad anak muda UMNO bangkit ubah negara

Muhammad Akmal dalam kempennya untuk DUN Merlimau.
Muhammad Akmal dalam kempennya untuk DUN Merlimau.
A
A
A

MELAKA - Anak muda Barisan Nasional (BN) Melaka bertekad membawa gaya politik baharu dan perubahan bagi menangkis stigma lama masyarakat terhadap UMNO khususnya berkaitan isu rasuah serta penyelewengan kuasa.

Calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh menegaskan, Pemuda UMNO Melaka sudah bersedia untuk ‘menggempur’ kesilapan lalu dan tampil lebih berani memulihkan imej parti tertua di negara ini.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Pemuda Negeri Melaka berkata, peluang bertanding diberikan oleh barisan kepimpinan tertinggi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini akan digunakan sepenuhnya terutama dalam menawan hati anak muda, seterusnya mengembalikan kegemilangan UMNO.

Dia yang bertugas sebagai seorang doktor berkata, peluang diberikan BN kepadanya yang masih muda iaitu berusia 33 tahun untuk bertanding kali ini membuktikan kesungguhan parti dalam mendengar suara pemuda yang merupakan tunjang parti.

No Image Caption

“Biarpun saya orang baharu dan masih mentah dalam sepak terajang politik, namun saya diberi kepercayaan pada PRN Melaka kali ini.

“Kesempatan terbaik ini akan digunakan untuk membawa perubahan dan menampilkan gaya politik baharu di dalam BN dan UMNO khususnya.

“Kami sebagai anak muda perlu berani, mempunyai integriti tinggi serta bertanggungjawab melaksanakan amanah rakyat malah tekad memerangai isu rasuah yang seringkali dikaitkan dengan parti keramat ini,” katanya di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda Bahagian Jasin itu berkata, sebagai golongan anak muda yang tidak bersifat warlord dan berani kerana benar, usaha membersihkan UMNO yang sering terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan kuasa akan diperjuangkan.

“Tampil bersih dan tidak terlibat dengan isu-isu berbangkit, Pemuda UMNO Melaka tidak gentar untuk bersuara, malah bersemangat membawa harapan rakyat melihat Malaysia bebas daripada unsur-unsur negatif,” kata Muhammad Akmal.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my