'Saya tidak derhaka kepada Tunku Ismail' - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak derhaka terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila berbicara berkaitan bola sepak.

Beliau berkata, status beliau dan Tunku Ismail adalah sama rata ketika berada di padang bola dan tidak perlu dicampuradukkan dengan hal lain termasuk politik.

Katanya, sebagai Presiden KFA dia mempunyai hak untuk bercakap dengan pemilik kelab JDT apabila ia berkaitan bola sepak.

"Saya Presiden KFA, Tunku Ismail pemilik kelab JDT, saya ada hak (bercakap). Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya cakap dengan pemilik kelab JDT, jangan kata saya derhaka pula.

"Main bola apa kira derhaka tak derhaka. Kalau tidak nak jaring gol kena angkat sembah dulu, nak buah macam mana. Main bola cara bolalah, jangan ambil hati pula, jangan heret bola masuk istana," katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: TMJ kirim sejambak bunga buat Sanusi

Mengulas mengenai perlawanan antara kedua pasukan pada Khamis malam, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau berharap KDA FC dapat menewaskan JDT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

"Saya harap dengan semangat jitu dan kental, azam yang tinggi dalam kalangan pemain, Kedah akan dapat menewaskan JDT di kampung halaman mereka sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa siri perang mulut di media sosial antara Tunku Ismail dan Muhammad Sanusi sebelum ini menghangatkan lagi pertemuan suku akhir Piala Malaysia antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan JDT pada Ahad lalu.

Isu bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) membangkitkan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan KDA FC yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan.