Siasatan kematian Mohd Diya dijangka selesai bulan depan

Allahyarham Mohd Diya
Allahyarham Mohd Diya
A
A
A

MARANG - Siasatan kes kematian pegawai bomba, Mohd Diya Che Jusoh yang rebah dalam banjir ketika bertugas bulan lepas, dijangka selesai Disember ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, jawatankuasa terlibat masih menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau berkata, jawatankuasa itu sudah bersidang kali pertama dan di diberi kebebasan untuk membuat siasatan secara adil dan telus supaya punca sebenar kematian dapat dikenal pasti.

"Kita akan cuba mempercepatkan siasatan berkenaan yang merangkumi pelbagai aspek dan pada masa sama, hasilnya nanti dapat digunakan untuk menambah baik pasukan ketika penugasan bagi mengelak insiden sama berulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu, dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Tahun 2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini pada Khamis.

Seramai 70 pegawai dan anggota di JBPM Terengganu serta Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur menerima anugerah serta sijil penghargaan masing-masing, termasuk Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Ab Rashid yang menerima Sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Pada 21 Oktober lepas, Allahyarham Mohd Diya, 46, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, selepas rebah semasa menyertai operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, pada 20 Oktober.

Susulan itu, sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan yang antara lain turut menyiasat berkaitan pengurusan keseluruhan operasi, pengurusan rawatan segera terhadap mangsa dan bagaimana kawalan penilaian risiko dibuat semasa kejadian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Laporan siasatan anggota bomba lemas diketahui dua minggu lagi

ARTIKEL BERKAITAN:Surat kenaikan pangkat Mohd Diya dihantar ke KPKT