Mara jalin kerjasama lahir Bumiputera profesional perakaunan

A
A
A

Mara - MICPA jalin kerjasama sasar lahir lebih ramai Bumiputera profesional perakaunan.
Mara - MICPA jalin kerjasama sasar lahir lebih ramai Bumiputera profesional perakaunan.

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) bagi melahirkan lebih ramai pelajar profesional di samping memastikan kebolehpasaran graduan membina kerjaya dalam bidang perakaunan.

Kerjasama ini dimeterai melalui MoU oleh Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pemangku Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif MICPA, Novie Tajuddin.

Turut hadir menyaksikan majlis itu, Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun; Pemangku Ketua ACCA Malaysia, Hishamuddin Abdul Jalil serta Naib Presiden MICPA, Datuk Gan Ah Tee.

Menurut Azizah, kerjasama yang mempunyai nilai tambah kepada pelajar di bawah tajaan Mara ini akan memberi peluang pekerjaan berimpak tinggi untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputera terutamanya golongan B40.

Katanya, kolaborasi bersama ACCA dan MICPA ini turut fokus dalam memantau proses pembelajaran dan prestasi para pelajar bagi mencapai objektif, memberi latihan sokongan dan pembangunan bagi persediaan kerjaya serta menggunakan rangkaian perhubungan industri badan profesional dalam kebolehpasaran pelajar-pelajar di bawah tajaan Mara.

“Sebagai sebuah badan profesional global yang telah bertapak melebihi sedekad lamanya, ACCA mempunyai pengalaman yang luas dan kepakaran yang mendalam bagi melahirkan akauntan profesional yang tidak hanya tertumpu pada kelulusan akademik semata-mata,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sesi pertukaran dokumen MoU antara Mara dan ACCA Malaysia.
Sesi pertukaran dokumen MoU antara Mara dan ACCA Malaysia.

Sementara itu, menurut Hishamuddin ACCA juga sentiasa melihat keperluan terkini sama ada yang melibatkan pelajar, pendidik, institusi pendidikan mahupun para majikan di samping memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan.

“Kami percaya penerapan nilai-nilai kepimpinan dan kebertanggungjawaban di peringkat awal ini meningkatkan kebolehpasaran mereka apabila menamatkan pengajian. Malah ada yang telah disunting majikan meskipun belum menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Sebelum ini, Mara melalui Kolej Profesional Mara Ayer Molek dan ACCA, berkolaborasi dalam melaksanakan program ACCA-X sebagai “blended learning” sehingga melahirkan pelajar yang melakar kejayaan di dalam peperiksaan bukan sahaja di Malaysia, malah di pentas dunia.

Beberapa pelajar CAT telah menduduki senarai “World prize winners” di dalam beberapa sesi peperiksaan ACCA dengan kadar kelulusan peperiksaan melebihi 90%.

Ah Tee pula menyifatkan, kerjasama dengan MICPA kali ini lebih kepada penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia berlangsung.

“Menerusi penajaan sepenuh masa pada tahun 2019 di bawah seliaan MICPA, lebih 100 bakat-bakat akauntan telah menerima manfaat dan kini ada di antaranya telah berkhidmat di firma-firma Akauntan utama seperti BDO, Deloitte, Ernst & Young (EY), KPMG dan PwC,” katanya.

Melalui program MICPA, graduan program akan mendapat dua kelayakan profesional iaitu CPA (Malaysia) dan CA (ANZ) hasil kerjasama antara MICPA dengan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CAANZ).

MICPA kini mempunyai lebih daripada 3,200 ahli dan lebih 1,000 calon yang berdaftar.

Untuk rekod, pada tahun ini, Mara telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta yang telah memberi manfaat kepada 704 pelajar tajaan yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan profesional di pelbagai institusi diiktiraf oleh ACCA dan MICPA.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!