Budak lima tahun bermain tepi tingkap sebelum terjatuh

Kanak-kanak lima tahun yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Gombak.
Kanak-kanak lima tahun yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Gombak.
A
A
A

Gombak - Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai bermain berhampiran tingkap yang tidak berjeriji sebelum terjatuh.

"Mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun ditinggal bersama ibu saudara mereka yang berusia 36 tahun.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap dan dipercayai terjatuh dari tingkap tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak di bawah Seksyen 31(1)(5b) Akta Kanak-kanak 2001 berkaitan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan berkenaan seorang kanak-kanak lima tahun yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Gombak.

Ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata, beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu terjatuh di koridor tingkat dua selepas dihubungi oleh ibu mangsa, yang dimaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

Menurutnya, anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

Artikel Berkaitan: