15,000 kotak makanan untuk veteran ATM

Kim Yew (dua dari kiri) melakukan gimik serahan kotak makanan kepada Ikmal Hisham di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Rabu.
Kim Yew (dua dari kiri) melakukan gimik serahan kotak makanan kepada Ikmal Hisham di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 15,000 kotak makanan akan disalurkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sumbangan menerusi Program Bantu-Bantu Malaysia itu adalah terjemahan keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap veteran ATM dan tanggungan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sumbangan itu diterima daripada pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew menerusi NGO Bantu-Bantu Malaysia.

Ia kemudian diserahkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM 2021.

"Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan kesinambungan daripada Program 'Mindef Prihatin' yang merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan untuk membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk veteran ATM dan keluarga mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Sumbangan ini adalah sumbangan fasa kedua setelah fasa pertama serahan berjumlah 10,000 kotak telah disempurnakan pada 27 Ogos lalu di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan.

"Daripada 15,000 kotak makanan yang diterima pada hari ini, sebanyak 5,000 kotak akan diagihkan ke ATM Cawangan Sabah dan Sarawak, sementara selebihnya telah diterima oleh JHEV cawangan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kotak Makanan Program Bantuan Malaysia kepada Mindef sempena inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz.

Ikmal Hisham berkata, pengagihan sumbangan kepada golongan veteran ATM dan keluarga yang layak di seluruh negara akan dilakukan oleh pejabat JHEV ATM cawangan negeri dengan kerjasama persatuan-persatuan veteran ATM.

"Kementerian Pertahanan juga berbesar hati dengan kerjasama yang dizahirkan oleh Tan Sri Lee Kim Yew, malah turut mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan badan korporat, NGO, pihak swasta, individu dan lain-lain yang ingin turut serta.

"Kita sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM serta tanggungan," ujar beliau.