Kedudukan Ketua Pembangkang diiktiraf, terima manfaat setaraf Exco: PH

Halim Bachik - Gambar fail Bernama
Halim Bachik - Gambar fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Kedudukan Ketua Pembangkang akan diiktiraf sebagai Exco dan menerima pelbagai manfaat di bawah Pelan Tindakan Maju Bersama Pakatan Harapan (PH) sekiranya parti itu diberikan mandat memerintah Melaka.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Datuk Halim Bachik berkata, selain itu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti juga akan diberikan hak peruntukan tahunan saksama agar pencapaian pembangunan di negeri berkenaan lebih seimbang di antara kawasan.

“PH komited untuk memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran dan setiap ADUN yang menang diwajibkan membuat pengisytiharan harta.

“Amalan tender terbuka akan dilaksanakan sebagai teras proses perolehan negeri. Amalan tender terbuka ini tidak akan menjejaskan agenda Bumiputera, sebaliknya membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PH bertanding di kesemua 28 kerusi dengan PKR bertanding 11 kerusi DUN, lapan DAP dan sembilan Parti Amanah Negara (Amanah).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: