Adik tumbuk abang sampai mata bengkak

ABDUL RAHIM
ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak suka melihat abang berbual dengan ibunya, seorang lelaki tergamak menumbuk muka si abang sehingga mengalami kecederaan, dalam kejadian di Kampung Alor Kuda, Seberang Takir, Kuala Nerus, pada Khamis lalu.

Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku selepas suspek, 20-an, ternampak abangnya sedang bersembang dengan ibu mereka di ruang tamu rumah.

"Tidak suka melihat situasi tersebut, suspek terus menumbuk muka mangsa sekuat hati sehingga menyebabkan mata lelaki itu bengkak.

"Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana salah faham terhadap mangsa yang disangka 'menghasut' ibu mereka agar tidak lagi memberi wang kepadanya," katanya.

Sumber berkata, suspek yang juga seorang penagih tegar dikatakan sebelum ini memang selalu meminta duit kepada ibu mereka dipercayai untuk membeli barang terlarang itu.

"Ibu mereka terpaksa memberi wang seperti yang diminta kerana bimbang suspek akan mengamuk sekiranya tidak mengendahkan permintaan itu.

"Adik beradik mangsa yang lain takut untuk menegur perbuatan melampau suspek terhadap ibu mereka kecuali mangsa yang sering menegur dan mungkin disebabkan itu juga, suspek semakin berdendam dengannya," katanya.

Kata sumber lagi, sebelum meninggalkan rumah, suspek ada mengugut mahu menyerang mangsa dan ahli keluarga yang lain termasuk ibu mereka suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

"Bimbang akan keselamatan dirinya dan ahli keluarga terutama ibunya, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut serta berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian hari ini mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18(a) Akta Keganasan Rumah Tangga.