'Rakyat mungkin terpaksa bayar kos lebih tinggi'

Atan sebagai panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-304 yang bertajuk 'Menangani Kos Sara Hidup Keluarga Malaysia’ pada Selasa.
Atan sebagai panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-304 yang bertajuk 'Menangani Kos Sara Hidup Keluarga Malaysia’ pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat berkemungkinan terpaksa membayar kos lebih tinggi jika Program Penyeragaman Harga Keperluan Asas tidak dilaksanakan, kata Pengarah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Atan Sapian.

Ujar beliau, inisiatif dibawah KPDNHEP itu membolehkan rakyat di pedalaman menikmati harga barangan keperluan harian pada harga berpatutan seperti penduduk di bandar.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion untuk program berkenaan sejak awal pelaksanaanya iaitu dari 2009 hingga sekarang.

“Ini untuk bantu rakyat dalam membantu mengatasi kos-kos yang mungkin akan dihadapi oleh mereka.

“Saya ingat pada 2016 apabila kita buat kajian ‘outcome’ (hasil), kita belanjakan RM200 juta, rupa-rupanya penjimatan penduduk adalah lebih daripada RM230 juta.

“Itu adalah penjimatan yang perlu dilakukan oleh penduduk supaya penjimatan ini boleh dibelanjakan dalam perbelanjaan lain,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-304 yang bertajuk 'Menangani Kos Sara Hidup Keluarga Malaysia’ pada Selasa.

Turut menjadi panelis, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr Madya Kartini Aboo Talib manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Atan berkata, kerajaan turut memantau kenaikan harga barang yang merupakan antara faktor kepada kos sara hidup masa kini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lebih daripada seribu pegawai yang akan meninjau harga barangan melalui program pemantauan harga.

“Mereka inilah yang akan turun setiap hari untuk melihat dan mengambil data-data harian dan bulanan.

“Itu yang pertama. Kedua, kita ambil data daripada peruncit-peruncit sendiri seperti pasar raya, syarikat-syarikat peruncitan dan lain-lain.

“Mereka akan bagi data-data tersebut. Daripada data-data inilah, kita akan buat analisa,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya akan terus salurkan maklumat kepada penguat kuasa KPDNHEP sekiranya terdapat pergerakan harga yang agak tinggi.

“Sebab itu saya ingat maklumat ini akan digunakan oleh pihak berkuasa untuk pergi ke premis-premis tersebut dan kebiasaannya notis akan dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terlebih dahulu sama ada kenaikan harga itu adalah sesuatu yang benar atau tidak,” jelasnya.