Isu judi, arak: Pemuda Pas Selangor selar dakwaan Khalid

Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyelar dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang menyifatkan langkah kerajaan Kedah menamatkan dan mengehadkan pemberian lesen penjualan arak dan lesen premis perjudian hanya gimik politik bagi meraih sokongan pengundi semata-mata.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, sebagai seorang Muslim, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu sepatutnya menyokong dan menzahirkannya dengan ucapan tahniah.

"Beberapa individu berpengaruh seperti mufti Pahang, asatizah dan pendakwah turut memberi sokongan kerana kerajaan Kedah menunjukkan kesungguhan mengangkat agenda Islam dan mengekang isu judi dan arak dengan kuasa yang ada," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negeri Selangor tidak pula serius dalam isu judi atau arak, sedangkan Amanah berada dalam kerajaan PH.

"Tidak wajar seorang ahli Parlimen Muslim memberikan kenyataan seumpama itu kerana dalam agenda Islam sepatutnya semua wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam bersatu menjayakannya.

"Agenda Islam bukan milik Pas sahaja tetapi tanggungjawab semua Muslim tanpa mengira perbezaan parti," katanya.

Beliau berkata, amat malang rakyat Selangor khususnya pengundi di Parlimen Shah Alam memiliki wakil rakyat seperti Khalid kerana tidak berjaya membawa agenda itu dalam kerajaan Selangor namun sibuk mempertikaikan kerajaan lain.

Beliau berkata, Pemuda Pas negeri itu turut menggesa kerajaan PH di Selangor mengikut jejak kerajaan Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Harapnya Khalid Samad dan rakan-rakan dalam Amanah mampu mentarbiyah PH untuk memastikan agenda Islam di negeri Selangor ini terus dimartabatkan, seiringan amar makruf dan nahi mungkar," tambahnya.