Pemimpin MCA Pasir Gudang diugut ah long Singapura

Thow Siang (dua dari kanan) menunjukkan mesej dan ugutan menerusi panggilan suara daripada ah long Singapura dikenali sebagai Sky selepas sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang, Johor Jaya, Johor Bahru pada Selasa.
Thow Siang (dua dari kanan) menunjukkan mesej dan ugutan menerusi panggilan suara daripada ah long Singapura dikenali sebagai Sky selepas sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang, Johor Jaya, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang mendakwa diugut ah long dari Singapura.

Menurut beliau, ugutan berkenaan turut ditujukan kepada ahli keluarganya dan semua itu berpunca selepas pihaknya membantu mangsa ah long di negeri ini yang menerima ancaman dan perbuatan khianat ah long.

Beliau berkata, dalang sebenar di sebalik ugutan berkenaan adalah seorang lelaki warganegara Singapura yang dikenali dengan nama panggilan 'Sky'.

"Saya telah berurusan dengan lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu sejak lebih setahun lalu, namun hanya menerima ugutan baru-baru ini. Lelaki itu membuat ugutan meminta kami tidak lagi menguruskan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran mereka.

"Dia membuat ugutan melalui panggilan suara dan memberitahu akan membakar rumah saya," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang, Johor Jaya di sini pada Selasa.

Thow Siang berkata, beliau sudah membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan keluarganya.

Katanya, biarpun diugut beliau akan terus membantu mangsa-mangsa ah long dan percaya ah long di Singapura mempunyai ahli atau hubungan dengan ah long di negeri ini apabila melakukan ugutan atau khianat.

"Saya tahu masih ramai lagi yang menjadi mangsa ugutan sindiket ini, tetapi takut untuk mendedahkan diri. Oleh itu, saya berharap mereka tampil membuat laporan polis agar jenayah ini dapat dihentikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak pandemik Covid-19, pihaknya menerima lebih daripada 50 aduan mangsa ah long dan 80 peratus daripadanya melibatkan sindiket ah long dari republik itu.

"Berdasarkan siasatan kami, sindiket ah long Singapura itu menyasarkan rakyat Malaysia yang berada di republik itu khususnya atas tujuan kerja.

"Mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa, namun apabila mangsa belum bersetuju atau tidak bersetuju dan ingin memulangkan wang berkenaan, sindiket terbabit meminta dua kali ganda daripada jumlah asal.

"Apabila mangsa enggan membayar jumlah wang yang diminta, mereka akan mengugut ahli keluarga yang berada di negara ini melalui panggilan telefon dan juga membaling cat pada tengah malam," katanya.

Pada 10 November lalu, orang upahan 'Sky' yang membuat ugutan bakar rumah Jian Boon, iaitu Teng Chee Sing, 34, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana kesalahan berkenaan.