Jadi calon Bebas bukan kerana dendam: Choon Koon

Calon Bebas DUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon (kanan) ketika minum petang bersama para pengunjung kedai cendol di Ayer Merbau hari ini. - Foto Bernama
Calon Bebas DUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon (kanan) ketika minum petang bersama para pengunjung kedai cendol di Ayer Merbau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon tekad kembali bertanding atas tiket Bebas bagi kawasan itu demi meneruskan usaha membantu masyarakat ketika pernah menjadil wakil rakyat selama sepenggal di situ.

Bekas peguam berusia 46 tahun itu berkata, beliau nekad mempertaruhkan nasibnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bagi memenuhi kehendak rakyat di situ yang mahukannya kembali berkhidmat namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk kembali kerana mahu membalas dendam pada mana-mana pihak.

"Saya sudah terbiasa dan tetap meneruskan kerja-kerja menyantuni rakyat, mengambil tahu hal kebajikan dan permasalahan dihadapi mereka walaupun tidak lagi bergelar ADUN di kawasan ini.

"Apa yang penting ketika ini, fokus saya adalah menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan ini, mahu membangunkan hab pendidikan, memastikan masalah capaian internet diselesaikan dan merealisasikan perancangan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik," katanya di sini pada Selasa.

Sebagai anak tempatan di DUN tersebut, Choon Koon mahu memberi tumpuan tujuh perkara utama demi kemakmuran dan keharmonian rakyat Bemban di samping hasratnya yang kembali bertanding di situ kerana masih mahu menabur jasa dan bakti selain berharap mendapat kepercayaan daripada pengundi.

Choon Koon sebelum ini yang mewakili Barisan Nasional (BN) pernah diberikan mandat menjadi ADUN Bemban pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kemudian diletakkan sebagai calon DUN Kesidang pada PRU Ke-14 namun tewas.

PRN Melaka kali ini menyaksikan Choon Koon berdepan pertandingan lima penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Dr Yadzil Yaakub, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew, calon BN, Datuk Koh Chin Han dan Azmi Kamis (Bebas).

Pada PRU Ke-14 DUN Bemban dimenangi Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP) dengan majoriti 1,345 undi.

Artikel Berkaitan:

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my