X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Mohd Khairul Adib dianugerahkan Tokoh Alumni Tersohor UKM

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Cancelor UKM (tengah) diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) melancarkan gimik pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan dan Coffee Table KPPA di Dewan Cancelor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Selasa. - Foto Benama
A
A

BANGI - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini dianugerahkan Tokoh Alumni Tersohor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas sumbangan dan pencapaian cemerlangnya dalam perkhidmatan awam dan UKM.

Mohd Khairul Adib, yang menamatkan pengajian dalam bidang sains di UKM pada 1985, menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM pada satu majlis di UKM hari ini.

Tuanku Muhriz turut berkenaan melancarkan Buku Koleksi Ucapan dan Coffee Table KPPA pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Buku koleksi teks ucapan KPPA terbitan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghimpunkan teks-teks ucapan Mohd Khairul Adib dalam majlis utama yang dihadiri.

Buku Coffee Table KPPA terbitan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula merupakan himpunan gambar majlis rasmi, program turun padang bersama-sama kumpulan sasar, pemegang taruh JPA serta keratan akhbar berkaitan isu dalam perkhidmatan awam.

Sebelum itu alam ucapannya, Mohd Khairul Adib berkata, JPA telah merangka proses pemilihan, saringan dan penilaian yang cukup rapi dalam urusan pelantikan penjawat awam.

Ia bagi memastikan mereka yang dilantik sebagai penjawat awam bukan sahaja memenuhi tahap kriteria minimum seperti sahsiah, kemahiran dan pengetahuan malah menjangkau kompetensi luar biasa melibatkan kebijaksanaan dalam pelbagai aspek seperti membuat keputusan, menimbang tara alasan dan menganalisis persekitaran.

"Kita memerlukan penjawat awam yang mencapai tahap kebijaksanaan iaitu gabungan pengetahuan dan pengalaman supaya mereka lebih berani dan berkeyakinan melaksanakan tugas dengan penyeliaan yang minimum," katanya.

Menurutnya, anggota pentadbiran memberikan hala tuju dan penjawat awam yang mencerakinkan dan membangunkannya dalam bentuk polisi dan inisiatif pelaksanaan.

Mohd Khairul Adib berkata, polisi adalah bersifat dinamik yang menyatukan semua peringkat pemikiran daripada ahli politik, penjawat awam ke rakyat.

"Polisi adalah manuskrip yang berjangka hayat dan ia bergantung kepada perubahan corak pentadbiran, kepimpinan dan teknologi yang mendorong kepada perubahan landskap negara.

"Apabila sesuatu polisi itu telah melebihi tempoh jangka hayatnya, pelaksanaan polisi tersebut akan hanya menjana kerugian kepada negara," katanya.

Untuk memperbaharui hayat polisi, Mohd Khairul Adib berkata penjawat awam perlu menjadi jentera yang sentiasa peka dengan kehendak pemegang taruh, bersiap siaga dengan kemaslahatan perkhidmatan awam dan sensitif dengan tuntutan masyarakat.

"Di Malaysia, pembuat polisi adalah juga pelaksana polisi. Secara logiknya, hampir semua polisi diasaskan melalui pengalaman lalu. Justeru itu, nilai kecanggihan dalam polisi itu sangat terbatas oleh masa," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!