Warga emas tak mengaku cederakan anak tiri

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas anak tirinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), tahun lalu.

Tertuduh, Zaileen Zainal, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rashidah Baharom selepas pertuduhan tersebut dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Zaileen didakwa telah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Raja Nurul Syafiqah Raja Hazman Shah, 27, dengan menggunakan tangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya di sini, jam 6.34 petang pada 14 Julai 2018.

Zaileen dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin, selain meletakkan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 2 April depan sebagai sebutan semula kes, selain menetapkan serahan dokumen terhadap kes itu pada tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Jalil Salam Muhamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Arwa Abdul Rahman.