PH Sabah kemuka agenda reformasi kepada KM

(PH) Sabah pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Hajiji dan mengemukakan Agenda Reformasi Sabah iaitu syor konsensus agar semua parti di negeri itu bekerjasama memastikan hak rakyatnya diperjuang. - Foto fail Bernama
(PH) Sabah pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Hajiji dan mengemukakan Agenda Reformasi Sabah iaitu syor konsensus agar semua parti di negeri itu bekerjasama memastikan hak rakyatnya diperjuang. - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor dan mengemukakan Agenda Reformasi Sabah iaitu syor konsensus agar semua parti di negeri itu bekerjasama memastikan hak rakyatnya diperjuang.

Kenyataan PH Sabah memaklumkan, agenda itu ialah autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, tadbir urus menangani Covid-19, pelan pemulihan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran dan politik, reformasi Dewan Undangan Negeri, tadbir urus orang asal Sabah serta tadbir urus keselamatan.

Menurut kenyataan itu, Agenda Reformasi Sabah seharusnya menjadi agenda bersama semua parti politik dan penggubal undang-undang sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang namun menegaskan ia bukan Memorandum Persefahaman seperti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

"Dalam agenda ini, PH Sabah mengemukakan syor-syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember 2021.

"Agenda ini juga termasuk reformasi yang perlu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan," katanya.

Pada pertemuan itu, PH Sabah diwakili Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Poon Ming Fung dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menurut kenyataan itu, PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan Hajiji untuk berbincang dengan parti gabungan dalam kerajaan mengenai Agenda Reformasi Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: