MAIWP salur RM3 juta bantu 1,000 asnaf menerusi Musa'adah Tijariyyah 2.0

Program Musa'adah Tijariyyah 2.0 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad pada Isnin.
Program Musa'adah Tijariyyah 2.0 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Musa'adah Tijariyyah 2.0 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM3 juta bagi membantu 1,000 individu asnaf yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menurut MAIWP, program itu yang masih menerima permohonan hingga 18 November ini menerusi laman web https://www.maiwp.gov.my merupakan manifestasi kesungguhan pihaknya dalam membantu golongan asnaf keluar daripada tampuk kemiskinan.

“...bukan sahaja sekadar memberi bantuan bahkan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan akhirnya menjadikan mereka pembayar zakat,” menurut kenyataan MAIWP pada Isnin.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebagai prasyarat, penerima bantuan perlu mengikuti kursus transformasi minda dikendalikan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Inspirasiprenuer YaPEIM untuk membantu mereka membuat persediaan dan perancangan sebelum memulakan perniagaan.

Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad pada Isnin.

Idris berkata, program MAIWP itu bukan sahaja dapat memberi bantuan jangka pendek kepada individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19, malah membantu golongan itu meningkatkan taraf hidup mereka dalam jangka panjang.

"Apabila ini (Covid-19) berlaku, mereka yang dahulunya berada jauh daripada perimeter asnaf, kini temasuk dalam golongan asnaf.

"MAIWP melihat kesan daripada situasi pandemik Covid-19 yang berpanjangan menyebabkan kesukaran para usahawan untuk bangkit semula tanpa adanya sokongan modal," katanya ketika merasmikan program tersebut di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Idris turut menyeru agar lebih banyak pihak berganding bahu dalam membantu masyarakat selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

"Saya menyeru agar sinergi sebegini diteruskan bukan sahaja dengan YaPEIM tetapi juga dengan agensi-agensi serta rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain agar tanggungjawab membantu masyarakat menjadi satu tanggungjawab bersama demi menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Musa'adah Tijariyyah 1.0 diperkenalkan Mac lepas telah berjaya membantu seramai 1,057 usahawan dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM3.17 juta. - Bernama