RM32.92 juta telah dibayar kepada waris mangsa Covid-19

 Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad - Foto sumber internet
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah membuat pembayaran sebanyak RM32.92 juta bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 sehingga 1 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pembayaran pampasan itu meliputi seramai 6,584 orang waris mangsa Covid-19 yang layak menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini tidak mempunyai tarikh luput (due date) dan disalurkan melalui Tabung Covid-19 Nadma daripada sumbangan orang ramai,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya mengenai jumlah sumbangan dan pampasan telah disalurkan kepada waris mangsa Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, menjawab kepada isu yang dibangkitkan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai cadangan supaya kerajaan mewujudkan pangkalan data, Abdul Latiff berkata, kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sedang membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS).

Beliau berkata, pangkalan data itu mengandungi maklumat profil rakyat Malaysia dan program-program perlindungan sosial daripada pelbagai kementerian atau agensi.

Menurutnya, PDPS akan menjadi 'single gateway' serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial meliputi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial.

“PDPS bagi Modul Bantuan Sosial dijangka siap dibangunkan pada Suku Pertama Tahun 2022,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: