PH sentiasa terbuka untuk berdebat: Adly

ADLY
ADLY
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk berdebat bagi membincangkan pelbagai isu mengenai Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, PH bersedia untuk menyalurkan pandangan terutama mengenai dasar-dasar parti menerusi media arus perdana.

"Saya tak nafikan sehari dua ini dibangkitkan mengenai debat membabitkan parti bertanding pada pilihan raya ini. PH sendiri memang mendapat tiga undangan untuk berdebat berhubung polisi di peringkat PH.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang menjemput. Insya-ALLAH, PH bersedia untuk berdebat dan berbincang," katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi laman Facebook beliau pada Khamis.

Sinar Harian akan menganjurkan program Berani Semuka pada malam kemuncak kempen PRN Melaka pada Jumaat ini dengan menampilkan wakil-wakil parti termasuk calon 'heavyweight' serta yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka oleh parti masing-masing.

Sementara itu, Adly mengakui perbincangan dan perdebatan itu akan memberikan lebih ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang tepat.

"Saya yakin, melalui demokrasi yang matang, terbuka dan berasaskan pengetahuan ini, memang perbincangan berkaitan rakyat sebegini dan dasar kerajaan adalah sesuatu yang baik.

"Saya percaya, dengan sistem demokrasi yang terbuka, rakyat akan mendapat maklumat. Daripada maklumat itu, rakyat dapat membuat penilaian, seterusnya memberikan sokongan kepada mana-mana parti yang diyakini untuk mendapat sebuah kerajaan cekap, stabil dan bertanggungjawab," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: