Sasaran 100 hari pertama

Nancy selepas mengadakan sidang media khas AKM 100 Hari MOTAC pada Rabu.
Nancy selepas mengadakan sidang media khas AKM 100 Hari MOTAC pada Rabu.
A
A
A

MOTAC yakin tiga inisiatif AKM bakal dicapai sebelum 1 Disember

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan tiga inisiatif Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara inisiatif yang digariskan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan ialah pembukaan destinasi pelancongan serta premis kebudayaan di kesemua 14 negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, MOTAC turut menyasarkan untuk merealisasikan sepenuhnya pelaksanaan penebusan insentif dalam bentuk diskaun, rebat atau baucar kepada pelancong tempatan dan peningkatan pendaftaran usahawan kraf negara ke dalam platform digital, MYCRAFTSHOPPE.

“Setakat 8 November lalu, dua daripada tiga aspirasi di bawah AKM berjaya mencapai sasaran ditetapkan iaitu inisiatif pembukaan destinasi pelancongan domestik dan pendaftaran usahawan kraf di bawah platform jualan digital MOTAC,” katanya pada sidang media khas AKM 100 Hari MOTAC, di sini pada Rabu.

Sementara bagi program destinasi pelancongan, ia telah dimulakan melalui pembukaan Pulau Langkawi, Kedah sebagai Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik di samping beberapa pulau tertentu di seluruh negara.

“Kita sasarkan pembukaan ini akan melibatkan kesemua 14 negeri di Malaysia yang memenuhi kriteria Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia telah pun dicapai selepas kerajaan kembali membenarkan aktiviti rentas negeri.

Bagi inisiatif meningkatkan pendaftaran usahawan kraf dalam platform MycraftShoppe, ia telah mencapai lebih daripada sasaran iaitu kenaikan sebanyak 159 usahawan kraf berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu pendaftaran 100 usahawan kraf.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, penyertaan usahawan kraf di seluruh negara dalam platform MycraftShoppe bakal memperluaskan lagi capaian pemasaran produk yang dihasilkan sekali gus menambah pendapatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program peralihan ke platform jualan digital itu melibatkan usahawan kraf di seluruh negara dengan penyertaan terbanyak adalah dari Sabah diikuti, Sarawak, Terengganu dan Perak.

Pada 10 September lalu, Mesyuarat Kabinet bersetuju agar setiap kementerian perlu membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-9.

Peruntukan RM5.86 juta

MOTAC kini sedang giat melaksanakan pemberian insentif penebusan diskaun, rebat dan baucar bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.86 juta.

Daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukan itu, sebanyak 59.42 peratus atau RM3.48 juta yang ditawarkan melalui syarikat penerbangan, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Pembelian Produk Kebudayaan telah ditebus oleh pengguna setakat Isnin lalu.

Bagi sektor penerbangan pula, sebanyak 95.5 peratus daripada 39,600 baucar yang ditawarkan telah ditebus oleh pengguna menerusi syarikat penerbangan terlibat iaitu Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia dan Malindo.

Poster mempromosikan baucar bersama syarikat penerbangan di dalam negara.
Poster mempromosikan baucar bersama syarikat penerbangan di dalam negara.

Selain itu kata Nancy, pemberian diskaun, rebat dan baucar itu turut melibatkan hotel empat hingga lima bintang dengan jumlah peruntukan RM1.26 juta diikuti hotel satu hingga tiga bintang (RM840,000), produk kraftangan (300,000), produk seni visual (RM250,000) dan pembelian buku dan penerbitan tempatan (RM885,000).

Bagi sektor aktiviti kesenian dan kebudayaan, MOTAC melalui Balai Seni Negara telah menyalurkan insentif baucar diskaun bagi setiap pembelian karya seni visual Malaysia bernilai RM500 hingga RM1,000.

“Insentif diskaun yang turut dikenali sebagai ‘Buy Art Malaysia’ itu akan berlangsung sehingga 20 November ini dan ia membabitkan penglibatan sebanyak 30 galeri swasta dan awam di seluruh negara,” jelasnya.

Poster potongan jualan di bawah program ‘Buy Art Malaysia’ bagi pembelian produk seni negara.
Poster potongan jualan di bawah program ‘Buy Art Malaysia’ bagi pembelian produk seni negara.

Di bawah insentif yang sama, MOTAC menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut menjalankan program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Persatuan Penjual-penjual Buku Malaysia (MBA) dan Majlis Buku Kebangsaan (MBKM).

“Sebanyak RM885,000 telah diperuntukkan bagi program berkenaan dan RM835,000 daripadanya diberikan kepada 168 kedai buku di seluruh negara manakala RM50,000 disalurkan melalui satu kedai buku dalam dalam talian, e-sentral.

“Bagi menarik lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan baucar tersebut, PNM bersama e-sentral akan mengadakan Pesta Jualan e-buku menerusi platform dalam talian tersebut bermula 11 November hingga 30 November ini.

“Setiap pembelian buku dengan resit RM20 di kedai terpilih akan mendapat baucar buku berjumlah RM10,” jelasnya.

No Image Caption

Selari dengan tagline ‘Coming Back Stronger’, MOTAC turut menyasarkan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan kembali pulih serta bangkit semula setelah sekian lama dibelenggu pandemik Covid-19.

Beliau berkata, usaha itu diyakini akan dapat dilaksanakan dengan penyaluran maklumat yang teratur kepada seluruh bahagian dalam pentadbiran MOTAC, agensi termasuk yang berada di luar negara.

Ia bagi membolehkan keberkesanan yang lebih terancang dalam tindakan dan pelaksanaan dasar terutamanya melibatkan inisiatif di bawah AKM.

Beliau berkeyakinaan kesemua sasaran yang ditetapkan di bawah AKM itu akan berjaya dicapai sebelum 1 Disember ini.

“Insya-ALLAH, dengan sasaran pencapaian 100 peratus terhadap ketiga-tiga AKM ini, ia akan dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kebudayaan serta keagamaan,” ujar beliau.