Petani, penternak, nelayan disaran kuasai teknologi baharu

Petani, penternak dan nelayan di Sarawak disaran supaya meneroka, menggunakan dan menguasai teknologi baharu untuk meningkatkan hasil. Gambar hiasan
Petani, penternak dan nelayan di Sarawak disaran supaya meneroka, menggunakan dan menguasai teknologi baharu untuk meningkatkan hasil. Gambar hiasan
A
A
A

LAWAS - Petani, penternak dan nelayan di Sarawak disaran supaya meneroka, menggunakan dan menguasai teknologi baharu untuk meningkatkan hasil mereka, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, penggunaan teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan kebun malah membantu memacu produktiviti sektor itu.

Justeru katanya, Agroculture Community Outreach Programme atau AgroCOP yang dilaksanakan Jabatan Pertanian Sarawak amat bertepatan untuk memberi pendedahan kepada petani, penternak dan nelayan mengenai penggunaan teknologi.

“Pelbagai teknologi dengan sistemnya boleh digunakan dan membantu petani-petani kita meningkatkan penghasilan, kualiti dan produktiviti produk pertanian mereka.

“Saya amat bangga dengan program ini (AgroCOP). Kita beri pendedahan, ilmu dan bantuan kepada petani untuk memperkasakan produk mereka sekali gus meningkatkan taraf pendapatan,” katanya pada majlis perasmian AgroCOP di Dewan Masyarakat Kampung Sualai di sini pada Ahad.

Awang Tengah berkata, selaras hasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, sektor pertanian antara elemen penting diberikan penekanan dan keutamanan oleh kerajaan negeri menerusi pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi dan bantuan kewangan kepada pemain sektor itu.

Sementara itu, AgroCOP yang disertai 80 penduduk kampung terdiri daripada petani dan nelayan itu bertujuan memberi pendedahan mengenai bantuan dan program yang disediakan kerajaan negeri dan Persekutuan, selain memperkenalkan teknologi pertanian.

Hadir sama, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datuk Ubaidillah Abdul Latip dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli. - Bernama

Artikel Berkaitan: