Kempen masuk pecutan akhir, berbaki enam hari sebelum penentuan

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan jadual padat menanti bakal wakil rakyat, selain semakin ramai ternampak kelibat pimpinan tertinggi parti dalam membantu calon masing-masing berkempen.

Berbaki hanya enam hari lagi yang juga boleh dianggap tempoh pecutan terakhir bagi parti dan individu perseorangan yang bertanding, corak berkempen hampir semua calon dilihat semakin agresif dengan ada yang menyenaraikan tidak kurang 14 program secara bersemuka sehari dan ia tidak termasuk kempen menerusi media sosial yang digerakkan jentera parti.

Matlamatnya, bagi memastikan kempen yang dilaksanakan mencapai tahap 100 peratus pecutan dan meliputi segenap pelosok kampung, taman-taman perumahan dan pusat kegiatan sosial rakyat sebelum tiba hari pengundian 20 November ini.

Corak berkempen calon pada minggu pertama, didapati bermula agak perlahan dan lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial, kenderaan siar raya selain ‘disulam’ dengan beberapa kempen bersemuka skala kecil yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara acara yang diadakan ialah sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, melawat bilik gerakan parti dan pusat daerah mengundi, mesyuarat, solat berjemaah, ramah mesra dengan penduduk dan tinjuan mesra di pasar malam.

Tidak kira sama ada calon muda mahupun calon senior, semuanya begitu bersemangat berkempen dengan masing-masing tidak mahu dilihat ‘kalah’ oleh pesaing, meskipun sedar pilihan raya adalah sesuatu yang amat meletihkan dengan program bermula seawal pagi sehingga lewat malam saban hari.

Ternyata, sesuatu yang cukup melegakan setiap calon yang bertanding apabila kerajaan membenarkan semua parti termasuk calon Bebas menyiarkan potret dan biodata calon di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula esok.

Bagi meyakinkan pengundi, Barisan Nasional (BN) mewajibkan kesemua 28 calonnya menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) sebagai komitmen wakil rakyat dipilih tidak melompat parti manakala Perikatan Nasional (PN) mewajibkan calonnya menandatangani surat aku janji sebagai komitmen untuk memerangi rasuah sekiranya diberikan mandat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, komitmen BN turut diperkuatkan dengan tawaran manifesto yang telah diumumkan pada Rabu lepas dan Pakatan Harapan (PH) menjadi parti kedua yang berbuat demikian pada hari yang sama.

PN pula akan mengumumkan manifestonya esok manakala Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, melancarkan manifestonya minggu hadapan.

Lain pula ceritanya, bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang mengesahkan bahawa tiada manifesto yang akan diumumkan parti itu, sebaliknya calon yang bertanding di lima kerusi iaitu di DUN Gadek, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Duyong dan Sungai Ramai, akan mengumumkan manifesto mereka sendiri.

“Kalau kita bertanding separuh kerusi DUN, memang kita akan umumkan, tetapi kita hanya bertanding lima kerusi sahaja. Jadi, tiada manifesto yang akan dilancar sebaliknya calon yang bertanding akan umum manifesto sebagai komitmen mereka di kawasan yang ditandingi,” kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali kepada Bernama.

SOP khas yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 8 November lepas bagi PRN Melaka yang mencetuskan rasa kurang senang pemimpin politik sememangnya dilihat menyukarkan kerana kempen perlu dilaksanakan dalam suasana luar daripada kebiasaan namun ia penting untuk dipatuhi.

Bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ dan parti politik perlu menerima SOP berkenaan sebagai realiti dan berkempen bersesuaian dengan keadaan semasa negara yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Kuasa rakyat yang akan menjadi penentu kini sudah semakin hampir tiba dan berikutan kekangan SOP, parti dan individu bertanding perlu melipatgandakan lagi usaha bagi mendapat kepercayaan rakyat.

Untuk membolehkan insiden kejatuhan kerajaan tidak berulang, parti yang bertanding perlulah mendapat mandat melebihi daripada 15 kerusi, iaitu majoriti mudah untuk kerajaan yang bakal dibentuk pada 20 November ini, adalah kerajaan yang stabil dan sukar digugat.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar. - Bernama