Kerajaan tubuh jawatankuasa bersama stabilkan harga baja, racun

Gambar dari kiri: Alexander Nanta Linggi, Ronald Kiandee
Gambar dari kiri: Alexander Nanta Linggi, Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menangani isu kenaikan harga baja dan racun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan bersama menjelaskan, ia adalah sebahagian usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian bagai masalah itu.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan akan mengenal pasti langkah-langkah lain dalam membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak.

“Mesyuarat jawatankuasa bersama tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan wakil pemain-pemain industri.

“Ia termasuklah Persatuan Pemeliharaan Tanaman dan Kesihatan Awam Malaysia (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA) pada 10 November lalu.

“MAFI dan KPDNHEP memandang serius isu kenaikan harga baja dan racun yang berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, baja dan racun makhluk perosak merupakan input pertanian dan komponen penting dalam pengeluaran hasil tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan oleh penduduk Malaysia.

Kata kenyataan itu, kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah yang diimport daripada negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium).

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan dan pemain industri, antara punca yang telah dikenal pasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran.

“Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk tersebut.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikenal pasti dan diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat supaya isu ini dapat ditangani secara menyeluruh dan holistik, di samping membantu golongan yang terjejas,” katanya.

Tambahnya, MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas serta bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.