X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Suami isteri disyaki edar dadah antara tiga ditahan

A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri antara tiga individu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di kawasan Jalan Yew Pudu dan Taman Desa Petaling pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Sahar Abdul Latif berkata, kesemua suspek diberkas menerusi operasi yang dijalankan kira-kira jam 7.10 malam.

"Polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara asing berusia dalam lingkungan 34 hingga 55 tahun di mana suspek wanita dalam kes ini adalah isteri kepada suspek kedua yang ditangkap.

"Serbuan pertama yang telah dijalankan di hadapan kedai Frozen Food, Jalan Yew Pudu berjaya menahan suspek pertama dan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 254 gram di dalam bungkusan plastik dipegang suspek. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM200," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, hasil siasatan yang dijalankan kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek di hadapan sebuah restoran di Jalan Yew Pudu.

"Turut dirampas adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 10 gram dan wang tunai berjumlah RM 247," katanya.

Menurutnya, serbuan berikutnya dijalankan di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur dan berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 875 gram serta ketamin seberat 734 gram.

"Siasatan dijalankan mendapati premis tersebut dijadikan tempat penyimpanan dadah dan telah disewa selama sebulan oleh seorang suspek dengan bayaran sewa RM1,200 sebulan.

"Ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah manakala semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!