Wanita rugi RM780,000 terpedaya pelaburan projek perumahan

Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita kerugian lebih RM780,000 selepas menyertai pelaburan projek perumahan yang diperkenalkan kawan rapat pada 2018.

Mangsa berusia 42 tahun mengenali rakan wanitanya (suspek) pada 2017 sebelum diajak melabur dalam projek perumahan yang dijalankan adiknya di Ulu Tiram, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dijanjikan keuntungan melalui komisen bergantung kepada hasil jualan rumah projek tersebut.

Menurutnya, tertarik dengan pulangan lumayan dijanjikan, mangsa berminat dan membuat bayaran secara berperingkat.

"Mangsa membuat bayaran RM800 hingga RM318,479 membabitkan jumlah keseluruhan RM780,276 dalam tempoh Jun 2018 hingga Ogos 2020 melalui enam akaun bank atas nama individu berbeza.

"Dalam tempoh itu, mangsa hanya menerima keuntungan kira-kira RM100,000," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, bermula November 2020, mangsa tidak menerima sebarang bayaran lagi.

"Suspek memberi alasan dia sudah tiada wang kerana adiknya yang menjalankan projek itu sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menghubungi suspek beberapa kali untuk menuntut wangnya, namun wanita itu gagal berbuat demikian," katanya.

Tambah beliau, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada 10 November setelah suspek memarahinya kerana menuntut wang tersebut.

"Suspek turut mengugut untuk membunuh diri jika mangsa terus menuntut wang daripadanya," katanya.

Mohd Wazir berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, pihaknya membuka kertas siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek memperdaya mangsa dengan peluang pelaburan disyaki tidak wujud hingga terpaksa menanggung kerugian," katanya.