Kerajaan baharu selepas PRN Melaka digesa fokus isu belia

Mohammad Afif (empat dari kiri) menyerahkan memorandum gesaan kepada Adly (tiga dari kanan) di Pejabat Amanah Melaka, di Bukit Baru pada Rabu.
Mohammad Afif (empat dari kiri) menyerahkan memorandum gesaan kepada Adly (tiga dari kanan) di Pejabat Amanah Melaka, di Bukit Baru pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan-pertubuhan belia di Melaka menggesa parti yang membentuk kerajaan baharu di negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi tumpuan kepada beberapa isu membabitkan golongan berkenaan.

Wakil pertubuhan-pertubuhan belia, Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka, Mohammad Afif Kasno berkata, antara isu yang mahu diangkat adalah semangat perpaduan dan keharmonian bangsa.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengutamakan keadilan dan kesaksamaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tanpa sebarang diskriminasi dalam aspek jantina, bangsa, agama dan status ekonomi serta tanpa mengira perbezaan politik.

Katanya, bagi keupayaan ekonomi belia pasca Covid-19, kerajaan negeri yang baharu perlu terus meberi tumpuan ke arah memperkasa ekonomi rakyat terutama golongan belia serta mempergiatkan lagi usaha ekonomi gig.

"Segala inisiatif baik dan bermanfaat untuk rakyat yang telah banyak dilaksanakan sebelum ini wajar diteruskan tanpa mengira parti politik mana yang telah melaksanakannya.

"Kerajaan negeri juga perlu memastikan kesinambungan dana pengupayaan belia disalurkan kepada persatuan berteraskan belia yang sah berdaftar, absah dan aktif," katanya.

Mohammad Afif berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menyerahkan memorandum gesaan terhadap semua parti politik yang bertanding pada PRN Melaka kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari di pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) di Bukit Katil, di sini pada Rabu.

Selain Adly, wakil lebih 15 pertubuhan belia di negeri ini turut menyampaikan memorandum tersebut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohiden di lokasi berlainan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mohammad Afif berkata, dana perlu bersifat objektif, bersasar dan meliputi kesemua domain pembangunan belia yang digariskan di bawah Indeks Belia Malaysia.

Malah katanya, kerajaan negeri yang jujur, berintegriti, bermaruah, bertanggungjawab dan empati kepada rakyat perlu bagi memastikan agenda pengukuhan serta kestabilan politik di Melaka dapat diberikan tumpuan sewajarnya, terutama dari aspek moral, integriti dan perundangan.

Justeru ujarnya, Rang Undang-Undang (RUU) Pecat ADUN berasaskan petisyen daripada pengundi kawasan mengambil contoh 'The Recall of MPs Act United Kingdom' perlu dibawa untuk dibahaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri Melaka segera agar menjadi sebahagian daripada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka.

"Kerajaan negeri perlu sentiasa mengutamakan aspek kesejahteraan dan keharmonian keluarga rakyat apabila membuat sebarang dasar dan program.

"Isu kesihatan mental, keganasan berasaskan jantina, gangguan seksual dan seumpamanya yang kian meruncing harus ditangani segera dengan langkah-langkah penyelesaian yang efektif dan bersasar, " katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my