PRN Melaka: BN calonkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan memaklumkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, ia berikutan Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka dan bebas daripada isu.

“Saya harap pentadbiran beliau diterima ramai, beliau tiada isu. Insya-ALLAH, jika diizinkan kita jadikan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka yang baharu," katanya pada sidang akhbar sejurus melancarkan manifesto BN pada Rabu.

Mengulas mengenai beberapa nama yang sebelum ini turut disebut sebagai calon Ketua Menteri daripada BN, Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan berpotensi untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri atau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Hal demikian kerana kata beliau, perkara menjadi keutamaan adalah kerajaan negeri yang bakal dibentuk lebih stabil dan bebas daripada sebarang ancaman pemimpin yang berpaling tadah.

"Kita mesti ada satu parti teras tubuhkan kerajaan. Kalau nak kestabilan politik mesti kita sendiri tubuhkan kerajaan.

"Kita tidak mahu bila ada orang mengugut dan mengancam untuk tarik sokongan, akhirnya rakyat yang susah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Hassan berharap rakyat Melaka bijak memilih parti yang layak memimpin negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah ada prestasi rekod lama dan bagi kepada satu parti teras iaitu BN untuk mentadbir Melaka," katanya.