#Suara Untuk Semua beri peluang 112 calon berkempen secara saksama

Surat mengenai program Suara-Suara Calon yang diedarkan oleh Thomas kepada kesemua calon dalam PRN Melaka.
Surat mengenai program Suara-Suara Calon yang diedarkan oleh Thomas kepada kesemua calon dalam PRN Melaka.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif #Suara Untuk Semua melancarkan program Suara-Suara Calon bagi memberikan peluang kepada kesemua 112 calon untuk berkempen secara saksama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi klip rakaman video yang akan disiarkan di Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Thomas Fann berkata, pihaknya turut bersedia membantu mana-mana calon yang tidak memiliki alatan untuk membuat rakaman bagi klip hebahan tersebut.

“Kami berharap agar semua calon dapat mengambil peluang ini sebagai satu langkah pertama apabila akses media diberikan kepada semua calon secara saksama.

“Sebarang pertanyaan, boleh hubungi kami di media@bersih.org,” katanya menerusi surat yang diedarkan kepada calon PRN Melaka pada Rabu.

Bersih 2.0 dengan kerjasama tiga buah organisasi media iaitu Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily pada Isnin mengumumkan penyediaan platform khas iaitu Suara Untuk Semua kepada setiap calon yang bertanding.

Menerusi surat tersebut, Thomas turut menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membolehkan calon mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

Antaranya termasuklah mengehadkan video klip tidak lebih lima minit dan kandungan penerangan yang tertumpu kepada maklumat diri, latar belakang, isu setempat di kawasan bertanding, cara menangani isu dan isu-isu utama di Melaka.

Menurutnya, keseluruhan klip video akan dimuat naik ke YouTube #SuaraUntukSemua.

Artikel Berkaitan:

“Video klip yang telah disunting akan dihebahkan di Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily, pada tarikh dan masa yang akan kami tentukan.

“Sila hantar selewat-lewatnya sebelum 18 November 2021,” jelas beliau.