Pogba diketepikan skuad Perancis akibat kecederaan paha

Pogba menarik diri daripada skuad Perancis pada Selasa selepas mengalami kecederaan paha ketika menjalani latihan.
Pogba menarik diri daripada skuad Perancis pada Selasa selepas mengalami kecederaan paha ketika menjalani latihan.
A
A
A

PEMAIN tengah Manchester United Paul Pogba menarik diri daripada skuad Perancis pada Selasa selepas mengalami kecederaan paha ketika menjalani latihan.

“Akibat kecederaan peha kanan, Paul Pogba terpaksa menarik diri untuk kedua-dua perlawanan akan datang,” menurut Twitter pasukan Perancis.

Pasukan kebangsaan Perancis menambah, Ketua Jurulatih, Didier Deschamps, memanggil pemain tengah Roma, Jordan Veretout untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pogba, lapor Agensi Berita Anadolu.

Pogba, 28, sebelum ini turun menyertai rakannya dalam kem Perancis di kem latihan Clairefontaine untuk membuat persediaan mengadapi kancah saingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 menentang Kazakhstan dan Finland.

Beliau mengalami kecederaan ketika latihan pecutan pada Isnin di Clairefontaine.

Pogba segera meninggalkan padang dengan diiringi doktor pasukan, Franck Le Gall.

Sementara itu, menurut Manchester United Pogba akan pulang ke Manchester untuk penilaian dan rawatan susulan.

Sebagai tonggak utama skuad Perancis, Pogba membantu Les Bleus memenangi Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia.

Artikel Berkaitan:

Les Bleus akan beraksi menentang Kazakhstan di Paris pada Sabtu ini sebelum berkunjung ke Helsinki, Finland pada 16 November bagi menamatkan saingan peringkat kelayakan Eropah. - Bernama