Farzana nafi berhenti belajar, yakin mampu bahagi masa

Farzana Hayani menjadi calon termuda pada usia 21 tahun. - Foto FB Farzana
Farzana Hayani menjadi calon termuda pada usia 21 tahun. - Foto FB Farzana
A
A
A

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, menafikan telah menamatkan pengajian separuh jalan untuk bertanding sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya, beliau melihat statusnya sebagai mahasiswa bukan masalah besar kerana sudah biasa membahagikan masa antara belajar dengan aktiviti kemasyarakatan sejak di bangku sekolah.

"Saya tidak berhenti (sebagai mahasiswa). Saya bergiat aktif dalam politik sejak sekolah menengah. Balik dari sekolah lepas bantu ayah di kedai makan, saya akan bantu pula masyarakat (aktiviti politik)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan ke Pasar Awam Sungai Rambai sebagai sebahagian daripada pergerakan dalam tempoh berkempen bagi PRN Melaka.

Beliau menegaskan, bahawa ruang dan peluang perlu diberikan kepada orang muda sebagai pemimpin untuk mencipta pengalaman.

"Macam mana kita nak ada pengalaman kalau tak diberikan pengalaman itu? Adakah calon lama itu ada pengalaman semasa pertama kali bertanding?," soalnya.

Mengulas mengenai isu-isu yang diberi perhatian, Ketua Srikandi PKR Melaka itu berkata, masalah capaian internet yang lemah merupakan isu yang perlu diutamakan khususnya untuk kepentingan pendidikan.

"Saya mahu tambah baik capaian internet, isu pendidikan dan memperjuangkan tentang digital ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa jaringan internet yang bagus, ramai yang tertekan dengan pembelajaran secara dalam talian. Jika internet bagus, digital ekonomi juga dapat diciptakan menerusi keusahawanan," katanya.

Farzana merupakan calon termuda dalam PRN Melaka adalah pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Beliau juga pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau.

DUN Sungai Rambai menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Farzana Hayani akan ditentang Siti Faizah Abdul Azis (BN), Muhammad Jefri Safry (PN) dan Nazatul Asyraf Md. Dom (Putra).

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my