Sabah hargai usaha martabatkan bahasa ibunda

Datuk Ewon Benedick - Foto Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah
Datuk Ewon Benedick - Foto Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah sentiasa menghargai usaha dalam memartabatkan bahasa ibunda melalui penulisan dan penerbitan buku, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda etnik Sabah sama penting dengan memperkasakan diri melalui penguasaan bahasa antarabangsa dan bahasa kebangsaan.

“Sejak dahulu saya konsisten memberi sokongan ke atas usaha yang diambil oleh pelbagai pihak terutamanya para pensyarah, guru dan mahasiswa bagi memperkasakan Bahasa Kadazandusun yang menjadi salah satu subjek dalam sistem pendidikan negara.

"Tahniah dan terima kasih kepada Dr Rosliah Kiting, Pensyarah Pengajian Bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak (UPSI) kerana berjaya menghimpunkan 57 karya cerita etnik Kadazandusun dari seluruh Sabah dan dibukukan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ewon, yang juga ADUN Kadamaian dan Naib Presiden UPKO, berkata sebanyak RM10,000 telah diperuntukan pada tahun lalu bagi membiayai kos penerbitan buku tersebut.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada beberapa program yang akan dianjurkan oleh pelajar Program Bahasa Kadazandusun UPSI termasuk penganjuran Seminar Antarabangsa Kesusasteraan dan Kebudayaan Borneo dan Sambutan Kaamatan UPSI tahun ini.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya agar ianya dapat terus dimantapkan dan diperkasakan di peringkat sekolah sehingga ke universiti," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: