Cakap macam kasar tapi orang Melaka baik hati

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

ORANG Melaka kini menjadi tumpuan bukan sahaja disebabkan pilihan raya negeri, malah isu loghat orang Melaka juga hangat diperkatakan di media sosial.

Kisahnya bermula apabila seorang bekas timbalan menteri memuat naik bingkai gambar profil dengan frasa ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ di laman Facebook rasminya sebelum dipadamkan selepas mengetahui maksud sebenar perkataan itu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘lahabau’ adalah istilah makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.

Merak Jalanan percaya kesilapan itu bukanlah disengajakan. Bekas timbalan menteri itu juga sudah memohon maaf kepada orang Melaka.

Merak Jalanan ambil positif kerana dapat juga kita belajar loghat orang Melaka atau ‘belajau slanga orang Melaka’.

Antara perkataan popular lain ialah hawau: menunjukkan rasa kecewa atau ‘tak guna betul kau ni’; mencekik, mentekedarah: makan; membongkang, membuta: tidur; dan sakau: merampas, mencuri atau mengambil hak orang.

Bukan semua penduduk Melaka menggunakan loghat ini. Orang Melaka yang banyak merantau atau sambung belajar di luar Melaka, cara percakapan mereka mungkin agak berbeza.

Menurut kawan Merak Jalanan, kalau nak dengar bahasa Melaka yang boleh tahan pekatnya, pergilah ke Ujung Pasir, Alai, Bachang atau Klebang.

Artikel Berkaitan:

Jangan terperanjat kalau orang tua-tua cakap begini: “Lama kau tak datang, ingatkan dah mampos!”Dengar macam kasar tapi itulah tanda kemesraan sejati orang Melaka. Sebenarnya, hati mereka baik-baik belaka.

Setiap negeri di Malaysia ada keunikan tersendiri baik dari segi budaya mahupun bahasa.

Orang tua-tua dulu berpesan, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.