PRN Melaka ibarat ‘makmal’ uji hala tuju Pas

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diibaratkan seperti sebuah ‘makmal’ untuk menguji segala kemungkinan sebelum Pas menentukan hala tuju dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, strategi parti itu untuk menghadapi PRU15 bergantung kepada sikap pengundi dalam PRN Melaka.

“PRN ini akan menjadi satu pilihan raya penting untuk melihat bagaimana masa depan untuk hadapi PRU15 dan pada saya, ini ‘makmal’ untuk kita lihat.

“Kita belum tahu macam mana, tetapi keputusan PRN itu akan menjadi satu keputusan terbaik dan landasan kepada PRU15 nanti,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Perdana di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2021 Peringkat Negeri Kelantan kepada Tokoh Aktivis Belia Kelantan, Roslan Ismail dan Tokoh Belia Harapan Sukan Kelantan juga belas pemain bola Kelantan, Mohd Hashim Mustapha.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Ahmad turut berharap rakyat keluar mengundi pada PRN tersebut sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita masih dalam pandemik namun saya harap rakyat keluar mengundi dengan mematuhi SOP sebab nak melihat peratusan undi.

Artikel Berkaitan:

“Harap mereka tidak mensia-siakan, bergantung pada sikap yang akan dilihat nanti kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membuat pemilihan dan kita akan menilai sikap ini untuk berdepan PRU15 nanti,” katanya.

Akhbar melaporkan PRN Melaka menyaksikan 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek pada proses penamaan calon yang tamat pada Isnin.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my