X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

BN gerak solo, untung atau ‘malapetaka’

Bendera BN mula dipasang sedang setelah proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 diumumkan. Foto Bernama
A
A

UMUM mengetahui Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana sebelum ini UMNO telah memberi penjelasan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk ‘membuang’ rakan sekutunya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO menegaskan parti itu berpegang teguh kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Adakah tindakan tersebut dianggap langkah bijak untuk parti keramat itu kembali menunjukkan semula ‘taring’ mereka setelah berdepan kekalahan teruk pada PRU14 sebelum menghadapi cabaran PRU15 atau sekadar mencipta ‘malapetaka’.

Penulis berpendapat, tindakan BN adalah untuk menguji dan mengembalikan kepercayaan pengundi. Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Jika bernasib baik akan selamat, jika bernasib malang, binasalah jawapannya.

Sekiranya berjaya, UMNO dapat membuktikan parti itu masih relevan dan diterima masyarakat, namun jika sebaliknya, mungkin UMNO perlu mencari solusi terbaik bagi menghadapi PRU15.

Atau mungkin sahaja UMNO putuskan tindakan drastik dengan membuat pusingan U – kembali bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Tidak siapa boleh menjangkakan apa yang akan berlaku.

Pada PRN Melaka, BN yakin sepenuhnya setelah menampilkan lebih ramai muka baharu, meskipun bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang dilihat saingan sengit antara Pakatan Harapan (PH), BN dan PN.

Walaupun tewas pada PRU14, BN mampu memperoleh 13 kerusi DUN ketika itu, jadi BN mungkin mampu mengekalkan kerusi dimenangi.

Jika diperhalusi lagi, pada PRN Melaka, hanya empat daripada 13 penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih semula sebagai calon, manakala lima daripada 28 calon terdiri daripada wanita.

UMNO meletakkan 20 calon untuk bertanding, berbanding 18 calon pada PRU14.

Percaturan itu memberi signal bahawa UMNO mahukan PRN Melaka milik mereka meskipun mengetahui PH juga ada potensi besar menawan bumi Hang Tuah.

Bagi kerusi DUN Pengkalan Batu yang sebelum ini diperuntukkan kepada Gerakan, ia telah diserahkan kepada UMNO.

Memperkukuhkan kedudukan, MCA juga meletakkan tujuh calon dengan lima muka baharu, manakala MIC meletakkan seorang calon, sama seperti sebelum ini.

Bukan itu sahaja, UMNO turut menerima ahli politik lompat parti untuk bersama berjuang menawan hati rakyat di DUN Rembia.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis telah menyertai UMNO Januari tahun ini setelah sembilan bulan menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar PKR.

Semasa PRU14, Muhammad Jailani yang mewakili PKR ketika itu merampas kerusi berkenaan daripada UMNO dan PRN kali ini, beliau mempertahankan kerusi DUN Rembia.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, calon-calon yang ditampilkan kali ini semuanya berwibawa, terdiri daripada pelbagai profesion termasuk doktor perubatan, peguam dan jurutera.

“Kita campurkan orang yang berpengalaman dan orang muda, dengan harapan kerajaan Melaka yang dapat kita tubuhkan selepas PRN nanti akan menjadi kerajaan yang boleh mengurus dengan baik,” ujarnya.

Apa pun, menang atau kalah BN pada PRN Melaka, tanggungjawab kini terletak di bahu kita, khususnya pengundi.

Tidak kira anda undi siapa pun, tepuk dada tanya selera dan jangan anggap mengundi itu remeh kerana setiap bilangan undi dihitung.

20 November merupakan tarikh keramat yang dinantikan oleh semua rakyat Melaka bagi menentukan siapa pemimpin mereka.

Undi anda amat berharga. Ia bukan sekadar kuasa kolektif yang ada di tangan kita tetapi nilainya lebih daripada itu.

Janganlah kita mudah terpedaya dengan gimik politik atau sandiwara mereka semasa berkempen sehingga kita lupa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Jom pergi mengundi!

* Syairah Ab Lajis ialah Web Editor Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!