X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Anggota polis cedera bergelut dengan pengedar dadah

A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis cedera terkena pisau semasa bergelut dengan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang cuba ditahan di Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pada jam 6.55 petang, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara di tepi jalan di kampung itu.

“Pemandu kereta itu bagaimanapun bertindak melarikan diri sebaik anggota memperkenalkan diri dan mengarahkannya keluar dari kereta itu.

"Pemandu berkenaan juga telah melanggar dua kenderaan milik anggota polis dan menggilis kaki kiri salah seorang anggota polis dalam cubaan melarikan diri itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, dalam usaha mempertahankan diri, beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar kereta berkenaan menyebabkan kereta dipandu suspek terbabas ke dalam sawah.

"Suspek kemudiannya telah keluar dari kereta dan cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.

"Suspek kemudiannya telah mengeluarkan pisau dan cuba menikam anggota serbuan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan kanan dan belakang tapak tangan seorang anggota yang berusia 31 tahun," katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu di dalam poket seluar lelaki berkenaan.

"Anggota polis yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah" katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu memiliki 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes di siasat di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!