X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Djokovic rangkul kejuaran Paris Masters buat kali keenam

Novak Djokovic - Foto Reuters Christian Hartmann
A
A

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic mencatatkan rekod tersendiri apabila memenangi kejohanan Paris Masters buat kali keenam apabila menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev 4-6, 6-3, 6-3 pada Ahad.

Tewas pada set pertama nyata tidak melemahkan semangat pemain Serbia itu untuk bangkit pada dua set berikutnya untuk memenangi aksi final berkenaan dan sekali gus membalas dendam kekalahannya kepada Medvedev pada Terbuka Amerika Syarikat (US Open).

Mengulas kemenangan berkenaan, Djokovic berkata, dia sememangnya menyasarkan untuk memenangi kejohanan itu sebagai persiapan untuk mengharungi kejohanan-kejohanan lain.

Malah katanya, dia kini melihat dirinya sebagai ‘pemain baharu’ dalam sukan tenis dan mahu belajar lebih banyak perkara untuk menjadi pemain terbaik dunia.

"Saya melihat diri saya sendiri sebagai seorang pelajar bagi sukan tenis ini. Saya juga benar-benar kagum dengan kejayaan juara-juara tenis pada masa lalu khususnya atas inspirasi yang diberikan untuk saya bergiat dalam sukan tenis.

“Sebagai contoh, pemain seperti Pete Sampras yang banyak mempengaruhi saya sejak kecil untuk menjadi seorang pemain tenis sepertinya hari ini,” katanya.

Kemenangan Djokovic itu turut mengesahkannya untuk menamatkan saingan musim 2021 ini selaku pemain nombor satu dunia buat kali ketujuh.

Sementara itu, Medvedev menyalahkan penonton yang disifatkannya terlalu bising hingga dia tidak dapat memberikan konsentrasi pada aksi berdepan Djokovic.

Katanya, suasana sedemikian juga disifatkannya sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kekalahannya kepada Djokovic.

“Saya memang terganggu dengan suasana riuh rendah daripada penonton, apatah lagi ketika detik-detik penting pada perlawanan berkenaan.

“Kita juga tahu, Djokovic juga seorang pemain yang sukar untuk ditewaskan; namun kali ini ditambah dengan suasana bising daripada penonton hingga membuatkan saya hilang fokus dan seterusnya tewas kali ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!