Berang dimarah tunggang motosikal, adik tikam abang, rakan

Pisau digunakan suspek dalam kejadian di bawah blok sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai, Petaling Jaya pada Ahad dirampas untuk siasatan lanjut.
Pisau digunakan suspek dalam kejadian di bawah blok sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai, Petaling Jaya pada Ahad dirampas untuk siasatan lanjut.
A
A
A

PETALING JAYA - Pergaduhan antara tiga individu berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditikam dalam kejadian di bawah blok sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 12.08 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati terdapat tiga individu di lokasi kejadian, mangsa pertama terbaring dalam keadaan luka di bahagian dada sebelah kiri serta bahagian perut.

"Mangsa kedua yang merupakan kawan kepada mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian belakang badan sebelah kiri manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa pertama dikatakan berang apabila mendapat tahu suspek yang merupakan adiknya menunggang motosikal tanpa pengetahuannya.

"Berlaku pergaduhan antara mereka, mangsa kedua cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu bagaimanapun terkena pisau lipat yang dipegang suspek.

"Pergelutan mengakibatkan mangsa pertama dan mangsa kedua cedera, suspek kemudiannya bertindak membuang pisau tersebut ke lantai setelah kedua-dua mangsa mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, kesemua individu terlibat berumur antara 15 hingga 19 tahun dan kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek tidak bersekolah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman.

"Pisau yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.